KE MANA HILANGNYA MENARA JAM BESAR KUALA LUMPUR?

Kuala Lumpur, Isnin 4 Jan. Pada malam tahun baru lalu, tidak ada satu pun stesen televisyen dalam negera yang menyiarkan secara langsung gambar Jam Besar Kuala Lumpur berbunyi dua belas kali yang lazimnya disertai dengan tembakan bunga api dan sorak-sorai muda-mudi berpesta.

Seperti yang lazimnya sudah diamalkan sejak berpuluh tahun yang lalu, pada malam tahun baru 1999 yang lalu, berpuluh-puluh ribu orang, kebanyakannya muda-mudi Melayu, sejak petang sudah mula datang berkumpul di Dataran Merdeka untuk berpesta sambil menanti saat Jam Besar Kuala Lumpur berbunyi 12 kali.

Pesta sambutan tahun baru adalah pesta yang penting bagi industri pelancongan negara sehingga setiap tahun radio dan televisyen diarahkan untuk membuat siaran langsung dari Dataran Merdeka.

Tetapi, tahun ini, sesuatu yang tidak pernah terjadi sepanjang sejarah pesta tahun baru telah terjadi, di mana beratus-ratus orang polis pencegah rusuhan, siap dengan lori-lori meriam air, dengan berpuluh-puluh trak polis, belantan, rotan dan senapang rifel ikut hadir pada malam itu, bukan untuk turut menyambut kedatangan tahun baru.

Suasana di Dataran Merdeka malam itu sangat tegang. Jelas sekali Bukit Aman bimbang jikalau pesta malam itu digunakan oleh para pejuang Reformasi untuk melaungkan tuntutan supaya Perdana Menteri meletakkan jawatan dan supaya Dato' Seri Anwar Ibrahim dibebaskan dari penjara.

Maka tidak hairanlah, pada malam tahun baru yang lalu, telah terjadi satu lagi perkara yang belum pernah terjadi sebelumnya dalam sejarah sambutan detik tahun baru di mana kelima-lima stesen televisyen dalam negeri memaparkan muka jam dalam studio mereka masing-masing, bukannya wajah Jam Besar Kuala Lumpur sebagaimana yang lazimnya dibuat setiap tahun.

Pada keesokan harinya pula tidak ada satu pun akhbar tempatan yang menyiarkan gambar pesta tahun baru di Dataran Merdeka malam itu, padahal itulah yang dilakukan setiap tahun. Padahal kerajaan memang mengiktiraf pesta tahun baru di Dataran Merdeka sebagai salah satu pesta rasmi yang digunakan sebagai daya tarikan pelancong ke negara ini.

Kerajaan takut jika surat-surat khabar menyiarkan gambar muda-mudi berpesta sambil ditemani polis anti rusuhan dengan lori-lori meriam air, maka gambar-gambar itu akan menyebabkan para pelancong takut datang ke negara ini. - RN