Dua Televisyen Dipasang Di Mahkamah

HARAKAH 25 DIS 98

KUALA LUMPUR: Dua buah televisyen dilihat di dalam kamar mahkamah di mana perbicaraan Anwar berlangsung apabila beberapa pemberita berjalan masuk ke kamar tersebut pagi Isnin lalu.

Ketika Hakim Paul memulakan perbicaraan pada jam 9 pagi, beliau agak bingung apabila melihat dua set tv tersebut, yang satu diletakkan menghadapnya di sebelah kanan kerusinya manakala yang satu lagi di sebelah kirinya menghadap pihak pendakwa raya serta peguam bela.

Beliau kemudian bertanya kepada Timbalan Pendakwa raya Azahar Mohamad apakah tujuannya tv tersebut diletakkan di situ, dan Azahar menjawab ia akan digunakan untuk waktu akan datang.

Setelah mendengar keterangan saksi pihak pendakwa yang ke-15, pengurus hartanah Bukit Bandaraya Development Bhd, Emily Kao, pada jam 9.20 pagi Azahar memberitahu mahkamah bahawa saksi seterusnya adalah Ummi Hafilda Ali.Orang ramai hadir kelihatan memberi perhatian apabila nama Ummi diumumkan. Dari tempat duduknya, Anwar dilihat berpusing dan tersenyum ke arah isterinya dan anaknya Izzah.

Walau bagaimanapun, setelah menanti selama lima minit, seorang anggota polis memaklumkan kepada Azahar yang Ummi tidak kelihatan.

Azahar lalu memohon rehat sebentar untuk mencari Ummi.

"Kamu sepatutnya telah memberitahunya minggu lepas. Kini masa mahkamah telah terbuang," tegur Paul sebelum mengarahkan mahkamah berehat sebentar.

Apabila mahkamah bersidang semula pada jam 10 pagi, Azahar memberitahu mahkamah bahawa beliau akan memanggil ASP Wan Zainuddin Wan Mahmood.

Zainuddin, yang memberi keterangan bahawa beliau telah merampas tilam jenis Orthoflex yang dipercayai terdapat kesan air mani pada 10 Julai lepas di sebuah pangsapuri di Tivoli Villa, mengambil masa selama setengah jam untuk menghabiskan keterangannya.Azahar kemudiannya memohon rehat sekali lagi, yang berlarutan hingga jam 10.40 pagi, apabila Ummi, yang berpakaian hitam dan kuning, muncul.

Pada jam 10.44 pagi, pengarah Karisma Advertising Sdn Bhd, itu mengangkat sumpah dan memberitahu mahkamah yang beliau akan memberikan keterangannya di dalam bahasa Melayu.

Semasa rehat seterusnya, suasana ceria kelihatan di kalangan keluarga Anwar dan saudara-maranya apabila mereka dimaklumkan yang adik angkat Anwar Sukma dibenarkan ikat jamin sebanyak RM10,000, sementara menunggu proses rayuan berjalan.

Wan Azizah dilihat mendapatkan kepastian daripada beberapa pemberita berdekatan dengannya, dan seterusnya menyampaikan berita gembira tersebut kepada Anwar. Sukma sebelum ini dihukum penjara enam bulan pada 19 September atas kesalahan membenarkan dirinya diliwat oleh Anwar awal tahun ini. Dia dijangka dibebaskan pada 5 Januari tahun depan. Bagaimanapun, dia akan dibebaskan lebih awal kerana didapati berkelakuan baik.