Penyokong Anwar Rentang Kad Hari Raya Gergasi

Berita Harian Rabu 30 Disember 1998 11 Ramadan 1419

KUALA LUMPUR, Selasa - Penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merentangkan 'kad hari raya gergasi' di pekarangan Masjid Jamek berhadapan pintu belakang Mahkamah Tinggi di sini, sebagai menunjukkan sokongan kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Kad berukuran 2.5 meter x 2 meter itu mula direntang kira-kira jam 3.05 petang supaya Anwar yang dibawa keluar dari mahkamah dapat melihat kad berkenaan.

Kira-kira 200 penyokong Anwar itu yang mula berkumpul di pekarangan belakang masjid berkenaan seawal jam 2 petang untuk melihat Anwar dibawa keluar ke Penjara Sungai Buloh.

Kad itu ditulis: "Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keluarga dari kami penyokong Adil. Ke arah kebenaran, keadilan dan kebebasan."

Anwar yang dikawal ketat polis menaiki kenderaan pacuan empat roda meninggalkan mahkamah kira-kira jam 3.15 petang.

Kumpulan berkenaan juga melambaikan tangan ke arah isteri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail yang keluar dari perkarangan mahkamah kira-kira lima minit kemudian.

Polis Simpanan Persekutuan (FRU), polis berpakaian seragam dan preman terus mengadakan kawalan keselamatan di sekitar mahkamah seperti hari-hari sebelumnya bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Sementara itu, wartawan dan hadirin di dalam mahkamah terkejut apabila sebuah televisyen berukuran 29 inci diletakkan berhadapan tempat duduk orang ramai.

Sebelum ini, sebuah televisyen sudah diletak berhampiran Hakim Datuk S Augustine Paul dan sebuah lagi menghadap kepada peguam dan pendakwa.

Bagaimanapun, sehingga perbicaraan berakhir hari ini, ketiga-tiga televisyen itu masih belum digunakan.

Difahamkan, tujuannya adalah untuk menayangkan pengakuan Sukma Darmawan ketika dalam tahanan polis mengenai perkara dia diliwat oleh Anwar.