SATU LAGI PEMBOHONGAN DI MAHKAMAH

KUALA LUMPUR 31 Dis -- Berita Mahkamah tentu mengejutkan ramai pihak, khususnya di kalangan pendokong kuat gerakan reformasi yang dipimpin oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Puak-puak konspirasi sudah pasti bersorak besar keriangan mendengar kes tersebut dibicarakan yang dilihat memihak kepada mereka. Namum, kita masih tetap bersyukur kerana tinjauan rambang yang dibuat menunjukkan bahawa hampir tiada langsung di kalangan penyokong Anwar Ibrahim yang percaya kepada cerita mahkamah semalam.

Rata-rata yang ditemui memberi jawapan yang cukup simple dan mudah iaitu: "Apabila polis tidak lagi boleh dipercayai, segala bentuk penipuan bukti tidak lagi mustahil". Kepercayaan rakyat terhadap kewibawaan polis terhakis teruk apabila Anwar Ibrahim dibawa ke mahkamah dengan matanya lebam dan bengkak, kemudian diikuti pula dengan tindakan ganas polis di Kg.Baru, dan siri-siri keganasan yang lain terhadap para demonstrasi aman.

Beberapa persoalan mungkin boleh kita fikirkan bersama berhubung dengan apa yang dilihat sebagai kononnya "bukti kukuh" yang agak saintifik pihak pendakwa semalam. Seperti yang pernah ditulis dalam ruangan lalu, adalah terlalu aneh air mani boleh melekat di tilam dari sebuah apartmen seperti apartmen Tivoli Villa, sedangkan tilam tersebut sudah pasti dialasi dengan cadar dan kedua, juga dialasi lagi dengan "mattress protector". Kecualilah DSAI sebelum buat kerja tu, beliau membuang cadar dan mattress protector dahulu. Seteruk-teruk rumah pelacur di Lorong Hj.Taib sekali pun rasanya tilamnya bercadar, inikan pula apartmen mewah seperti Tivolli Villa.

Kenapa tilam-tilam dari bekas kediaman rasmi DSAI dirampas oleh polis dan begitu juga tilam-tilam dari rumah Shamsidar. Apa perlu dan apa muslihat ini semua? Tidak mustahil jika ini merupakan usaha mencari apa jua maklumat demi mewujudkan bukti palsu itu semalam.

Rampasan tilam dari Tivolli Villa, dari bekas kediaman rasmi DSAI dan dari rumah Shamsidar baru-baru ini, atas arahan SAC1 Musa Hassan dipercayai merupakan perkara baru (second thought) yang Musa baru terfikir untuk "implicate" (mengenakan) Anwar dengan apa cara sekali pun.

Ketika DSAI dipukul sehingga pengsan dahulu, seribu satu macam perkara mungkin telah terjadi kepada beliau termasuklah mengambil air mani beliau di ketika itu, dan ianya boleh dilakukan seperti mana yang disahkan oleh Dr.Zahari Noor sebelum ini.

Ahli kimia Lim Kong Boon semalam sepatutnya turut menjelaskan berapa umur "sperma" dari air mani kononnya milik DSAI yang terdapat di 12 tompok di tilam itu. Kenapa ini tidak dilakukan? Kita bimbang ianya adalah "sperma" baru yang diambil ketika Anwar pengsan.

Mengikut pendapat ramai doktor, ketika hubungan seks, wanita tidak mengeluarkan "air mani" sepertimana lelaki tetapi sebaliknya mengeluarkan apa yang dipanggil "vaginal fluid" yang bertindak sebagai "lubricant" (pelincir), dan vaginal fluid ini tidak mengandungi sebarang unsur DNA seperti mana yang didakwa oleh ahli kimia Lim semalam. Kita mula ragui professionalisme ahli kimia ini setelah Dr. Zahari Noor sebelum ini jelas menghampakan puak konspirasi.

Pendirian kita jelas, mereka boleh mendatangkan seribu satu macam bukti karut dan palsu lagi, namun kita tetap percaya bahawa Anwar telah dianiayai dan dizalimi, kerana proses keadilan di negara kita ini sudah dikotori oleh tangan-tangan manusia yang rakus dan jahat. Kita bukan taksubkan Anwar, jika benar beliau melakukan itu semua, beliau sememangnya layak dihukum, namun kita melihat dari awal lagi bahawa perjalanan keadilan sudah jelas mahu menghukum beliau dengan apa cara sekali pun.

Dimanakah keadilan untuk Anwar, dipukul sehingga pengsan dan laporannya sehingga kini belum didedahkan, tidak dibenarkan diikat jamin dan pelbagai lagi. Sebab itulah dalam Islam, setiap tuduhan zina perlu dibuktikan dengan empat orang saksi yang adil, dan bukannya melalui ujikaji DNA dan sebagainya yang semuanya boleh ditipu dengan pelbagai cara dan teknik.

Untuk membuktikan tuduhan zina, Islam tidak memerlukan diusung tilam keluar masuk mahkamah seperti sekarang dan dipanggil macam-macam ahli kimia. Mungkin ini pengajaran bagi kita semua untuk kembali kepada Islam. Kita terima hakikat bahawa Anwar tidak diadili oleh mahkamah Islam, tetapi adakah mahkamah Augustine Paul hari ini telah berjaya memberikan keadilan buat Anwar sedangkan prinsip keadilan Barat juga jelas: "Justice is not only done but must be seen to be done"."Keadilan bukan sahaja mesti dilaksanakan, tetapi mesti dilihat telah dilakukan".

~Doi Moi.