Karisma Advertising Dapat Petisen Gulung Syarikat

Berita Harian Rabu 23 Disember 1998 4 Ramadan 1419

KUALA LUMPUR, Selasa - Ummi Hafilda Ali memberitahu mahkamah bahawa syarikat pengiklanannya mendapat satu petisen pada Januari 1998 untuk menggulungkan syarikat itu disebabkan hutang sebanyak RM1.27 juta. Bagaimanapun, Ummi Hafilda berkata petisen itu tidak akan terpakai kerana syarikatnya, Karisma Advertising (M) Sdn Bhd, mengadakan kerjasama perniagaan dengan sebuah syarikat lain.

Hakim Datuk S Augustine Paul kemudian bertanya apakah akan terjadi dengan petisyen itu, Ummi Hafilda berkata ia dalam proses untuk dibatalkan.

Ummi Hafilda: Ini kerana ia hanyalah satu kesilapan teknikal daripada pihak pengurusan.

Peguam Christopher Fernando: Kamu dituntut RM1.27 juta dan ia kerana kesilapan teknikal?

Ummi Hafilda: Ya, invois yang salah dicetak iaitu jumlah penghantaran diari.

Fernando: Siapa yang menyelamatkan kamu?

Ummi Hafilda: Tiada sesiapa.

Ketika ditanya adakah beliau ada menghantar surat kepada bapanya pada tahun ini dengan memberitahu bahawa dia ada menerima kontrak bernilai berjuta ringgit, Ummi Hafilda berkata beliau tidak ingat. Bagaimanapun, katanya, beliau memang ada mendapat kontrak pengiklanan.

Fernando: Siapa yang beri kontrak?

Ummi Hafilda: Saya tidak boleh cakap.

Fernando: Kamu kena beritahu mahkamah siapa yang beri kontrak itu?

Ummi Hafilda: Dalam proses untuk mendapatkan kontrak pengiklanan daripada KLIA (Kuala Lumpur International Airport)... Malaysia Airports Berhad.

Pengarah Karisma Advertising itu juga memberitahu mahkamah bahawa syarikatnya ada diberi kontrak oleh Pemadam bagi tempoh lima tahun bagi menjalankan projek anti dadah di sekolah-sekolah seluruh Malaysia.

Menurutnya, kontrak yang diperolehi daripada Pemadam itu bernilai antara RM1 juta atau RM2 juta setahun. Beliau juga memberitahu mahkamah bahawa Pengerusi Pemadam adalah Datuk Seri Megat Junid Megat Ayob.

Fernando: Berhubung projek KLIA, adakah kamu ada berjumpa Tan Sri Basir? (Pengerusi MAB).

Ummi Hafilda: Berkenaan kontrak pengiklanan itu, saya ada bertemu dengan Tan Sri Basir di pejabatnya.

Fernando: Pertemuan itu diaturkan oleh Tun Daim Zainuddin dan kamu ditemani Tan Sri Rahim Thamby Chik?

Ummi Hafilda: Saya tidak bersetuju bahawa pertemuan itu diaturkan oleh Tun Daim.

Fernando: Adakah kamu ditemani Tan Sri Rahim Thamby Chik?

Ummi Hafilda: Saya tidak ditemani Tan Sri Rahim Thamby Chik tetapi saya telah berjumpa dengannya di pejabat Tan Sri Basir.

Fernando: Apa maksud berjumpa Tan Sri Rahim di sana?

Ummi Hafilda: Saya tidak pergi bersamanya, tetapi saya berjumpa dengannya di sana.

Ketika ditanya apakah peranan Rahim dalam pertemuan di KLIA itu, Ummi Hafilda berkata Rahim tidak memainkan apa-apa peranan, selain bercerita hal-hal politik dengan Basir.

Fernando kemudian mengemukakan kepada mahkamah surat Ummi Hafilda yang ditulis bersama-sama Khairuddin Abu Hassan di Hotel Shangrila pada 20 September 1998.

Surat yang ditulis oleh Ummi Hafilda itu dibaca oleh saksi itu seperti berikut:

'Anjing Anwar Ibrahim, hentikan lakonan munafikmu dan terimalah hakikat bahawa kau sememangnya binatang yang bertopengkan manusia dan insyaAllah doa aku seterusnya ialah biar anjing Anwar Ibrahim mampus kerana penyakit Aids dimakbulkan oleh Allah swt tidak lama lagi. Slogan kau sememangnya berjaya, Malaysia Boleh (depan boleh, belakang boleh) Tahniah. Yang Memperjuang hak agama dan kebenaran, Ummi Hafilda Ali.'

Fernando kemudian bertanya kepada Ummi Hafilda mengapa dia menggunakan perkataan yang dahsyat terhadap Anwar, Ummi Hafilda menjawab: "Dia berhak mendapat gelaran itu kerana bagi saya dia telah menipu rakyat seluruh Malaysia dan menyalahkan Perdana Menteri dan orang lain di atas kejahatannya sendiri."

Fernando kemudian mendakwa Ummi Hafilda sebenarnya yang menipu seluruh negara dengan membuat tuduhan palsu terhadap Anwar kerana wang. Bagaimanapun, Ummi Hafilda menafikannya.

Ummi Hafilda juga menafikan yang dia pernah mengaku kepada bapanya serta Azmin bahawa kerana dia kekurangan wang dan terlambat untuknya berpatah balik.

Fernando kemudian bertanya kepada Ummi Hafilda sama ada Ziela Jalil pernah memberitahunya ketika mereka berada di dalam tandas Mahkamah Tinggi selepas Azizan mengaku tidak diliwat, dengan berkata:

'Kamu yang menyebabkan semua ini, dengan mereka-reka cerita dan sekarang Azizan yang mendapat susah'.

Ummi Hafilda menjawab bahawa tidak pernah berada dengan Ziela di dalam tandas mahkamah sepanjang dua bulan kes itu berlangsung.

Saksi itu juga menafikan bahawa tujuan beliau menulis surat 'Perihal Salahlaku Timbalan Perdana Menteri' adalah supaya Azmin bercerai dengan Shamsidar serta memalukan mereka.

Ummi Hafilda memberitahu mahkamah bahawa dia ada menyerahkan surat 'Perihal Salahlaku Timbalan Perdana Menteri' kepada Tun Daim Zainuddin dan Datuk Aziz Shamsuddin.

Selain itu, Ummi Hafilda juga menafikan bahawa beliau ada memberitahu seseorang bahawa Azizan Abu Bakar mendapat bayaran RM1 juta sebagai bayaran pertama.

Fernando: Saya katakan, kamulah yang memujuk Azizan untuk mereka-reka cerita terhadap Datuk Seri Anwar?

Ummi Hafilda: Surat pengakuan Azizan telah dibuat dengan penuh keinsafan dan perasaan ingin bertaubat. Di mana dalam satu kejadian kami sempat merakamkan perbualan tertuduh dengan Azizan yang mana tertuduh merayu dan meminta kerjasama Azizan untuk menafikan segala pertuduhan. Ini bukan rekaan. Pita ini ada dengan Datuk Aziz Shamsuddin. Ini bukan mereka-reka keterangan, ini bulan Ramadan, Encik Fernando.

Paul: Cukup...kita berhenti rehat bagi semua pihak bersembahyang (Paul memberhentikan perbicaraan pada jam 1.15 petang untuk berhenti rehat ketika masuk waktu Zohor).