Tiada Bukti Sukma Diliwat: Pakar

Berita Harian Rabu 30 Disember 1998 11 Ramadan 1419

KUALA LUMPUR, Selasa - Mahkamah Tinggi sini hari ini diberitahu, tidak ada bukti perubatan yang menunjukkan adik angkat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja, diliwat.

Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Zahari Noor memberitahu mahkamah, kesimpulan itu dibuat berdasarkan pemeriksaan fizikal ke atas Sukma pada 9 September 1998.

Bagaimanapun, katanya, pemeriksaan ke atas Sukma itu akan menjadi negatif jika perbuatan seksual berkenaan dijalankan lima atau 10 tahun lalu. Beliau menjelaskan demikian ketika ditanya semula oleh Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail, 'adakah apabila hanya memeriksa secara fizikal, kamu boleh mengesahkan secara positif tidak ada benda tumpul memasuki dubur Sukma pada 5 atau 10 tahun lalu.

Dr Zahari: Jika terlalu lama, semua tanda-tanda itu akan menjadi negatif melainkan bagi kes homoseksual biasa. Dalam lain perkataan, jika dia masih lagi mengamalkan homoseksual.

Ketika menjawab soalan balas peguam bela Christopher Fernando, Dr Zahari berkata: "Apabila saya membuat pemeriksaan, tidak ada bukti ada kecederaan pada tubuh Sukma. Apabila saya memeriksa kemaluannya, tidak ada bukti kecederaan sama ada baru atau lama.

"Pemeriksaan lanjut ke atas duburnya, menunjukkan keadaan dubur biasa, tidak ada keputusan yang penting. Oleh itu, saya membuat kesimpulan bahawa tidak ada bukti perubatan yang menunjukkan ada objek tumpul memasuki dalam dubur Sukma".

Fernando: Dalam bahasa mudah?

Dr Zahari: Saya akan katakan tidak ada bukti hubungan jenis.

(Pada ketika itu suasana mahkamah menjadi sunyi dan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kelihatan tunduk sambil menutup mukanya dengan kedua-dua belah tangan tanda syukur).

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk S Augustine Paul juga mengemukakan soalan kepada Dr Zahari berhubung isu yang sama.

Paul: Keterangan doktor berdasarkan kepada apa?

Dr Zahari: Keterangan saya adalah berdasarkan kepada fakta tidak ada kecederaan, dengan memeriksa kemaluan di mana apabila kita melihat dubur, kita akan melihat dubur bukan saja daripada sudut kecederaan, rupa, keadaan luar biasa di keliling dubur dengan membuat ujian penarikan kembali dubur (perpisahan punggung secara perlahan).

Menjawab soalan Fernando, Dr Zahari memberitahu mahkamah, Sukma menafikan pembabitannya dalam kegiatan homoseksual ketika beliau bertanya latar belakangnya.

Kepada soalan Abdul Gani, kenapa beliau bertanyakan latar belakang kegiatan homoseksual Sukma, Dr Zahari berkata: Saya menanyakan soalan itu kerana ia adalah sebahagian daripada pemeriksaan saya. Saya ada menanyanya berhubung homoseksual.

Abdul Gani: Adakah Sukma dibawa kepada doktor berdasarkan laporan polis?

Dr Zahari: Ya, saya bertanya latar belakang itu berdasarkan laporan polis Dang Wangi 14140/98. Saya tidak memberi penekanan kepada latar belakang pesakit saya. Kami cuma memberi tumpuan kepada pemeriksaan.

Abdul Gani: Adakah doktor menjalankan pemeriksaan fizikal ke atas Sukma?

Dr Zahari: Ya.