Permohonan DSAI Lucut Kelayakan Hakim Paul Ditolak

KUALA LUMPUR 27 Mac - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melucutkan kelayakan Hakim Datuk S. Augustine Paul bagi mendengar perbicaraan rasuah melibatkan bekas timbalan perdana menteri itu.

Hakim Augustine Paul berkata permohonan itu tidak boleh diterima dan beliau mengesahkan bantahan awal yang dibangkitkan oleh Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah.

Dalam bantahan awalnya Mohtar berkata notis usul itu adalah cacat dan pembelaan bersifat mala fide atau niat jahat kerana memfailkan permohonan itu di peringkat akhir perbicaraan serta alasan yang dikemukakan dalam permohonan itu boleh dipertikaikan dalam prosiding rayuan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Bagaimanapun, Paul membenarkan pembelaan membuat beberapa pindaan pada permohonan itu yang memohon mendapatkan dua perintah agar Paul tidak patut mendengar dan membicarakan isu-isu dan perkara dalam perbicaraan kes itu serta dikehendaki melucutkan kelayakannya untuk mendengar dan membicarakan kes berkenaan. Permohonan itu yang difailkan pada 15 Mac disokong dengan afidavit Anwar setebal 21 muka surat.

Dalam keputusannya Paul berkata permohonan untuk melucutkan kelayakan seseorang hakim adalah satu perkara serius dan kuasa itu harus digunakan dengan sebaiknya kerana ia akan menjejaskan kewujudan sistem keadilan dan menggalakkan litigan memilih hakim.

Paul, yang membuat keputusan itu selepas mendengar penghujahan daripada kedua-dua pihak semasa bantahan awal, berkata pada pendapatnya walaupun selepas dibuat pindaan, kedua-dua alasan itu tidak menepati undang-undang.

Katanya apa yang diminta beliau lakukan adalah tidak munasabah kerana beliau diminta untuk tidak terus mendengar dan membicarakan semua isu dan perkara di mana keputusan sudahpun dibuat.

"Kenapa harus dihentikan. Saya sudah mendengar segala-gala yang ingin saya dengar. Alasan dalam permohonan ini tidak menepati undang-undang," katanya.

Paul berkata beliau telah membuat keputusannya dalam perbicaraan rasuah Anwar selepas hujah-hujah yang substantif dan menurut undang-undang.

"Ia hanya boleh dicabar di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan tetapi saya tidak mengatakan bahawa keputusan saya itu adalah betul. Keputusan yang saya buat adalah mengikut keupayaan saya, kebolehan penyelidikan dan penghujahan daripada kedua-dua pihak di hadapan saya," katanya.

Anwar, 51, yang menghadapi empat pertuduhan rasuah, mengemukakan permohonan pada 15 Mac untuk melucutkan kelayakan Paul daripada mendengar kes rasuahnya. Beliau hadir pada prosiding hari ini. Anwar, yang juga bekas menteri kewangan, didakwa menggunakan kedudukannya untuk campur tangan dalam siasatan polis berhubung dakwaan salah laku seks terhadapnya bagi mengelakkan keaiban.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 2(1) Ordinan No 22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1970 yang membawa hukuman maksimum penjara 14 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Paul menetapkan 6 April untuk mengumumkan keputusan selepas pembelaan enggan membuat penghujahan pada akhir perbicaraan yang berlangsung selama 73 hari dan meminta Anwar mengemukakan penghujahan bertulis jika beliau memilih untuk berbuat demikian.

Peguam utama Anwar Raja Aziz Addruse Selasa lalu memberitahu mahkamah bahawa pembelaan tidak akan mengemukakan penghujahan sehingga mahkamah mendengar permohonan untuk melucutkan kelayakan Paul, yang Anwar dakwa, tidak mengadili perbicaraannya secara adil.

Pada permulaan prosiding hari ini, Paul memberitahu mahkamah bahawa permohonan yang akan didengar di hadapannya adalah seperti yang diarahkan oleh Hakim Besar Malaya Datuk Wan Adnan Ismail dan menurut kehendak undang-undang.

Dalam afidavitnya untuk menyokong permohonan itu, Anwar mendakwa bahawa dalam perbicaraan kesnya, Paul telah kerapkali mencelah pemeriksaan dan pemeriksaan balas saksi-saksi sehinggakan hakim kelihatan mengambil peranan sebagai pendakwa raya.

Katanya beliau mempunyai kekhuatiran bahawa hakim mempunyai minda yang tidak berkecuali kepada isu-isu dan perkara-perkara dalam perbicaraan. Sebelum itu Mohtar dalam hujahnya berkata notis usul itu mempunyai kecacatan kerana terdapat beberapa kelemahan daripada segi bahasa pada notis yang rasmi iaitu dalam bahasa Melayu berbanding salinan bahasa Inggeris yang disertakan bersama.

Beliau berkata terdapat perbezaan maksud yang amat ketara pada kedua-duanya bahasa notis berkenaan terutama perintah yang dipohon yang tidak membawa erti langsung kerana membawa maksud tidak mendengar kes itu lagi sedangkan hakim telah mendengarnya.

"Kedua-dua bahasa afidavit yang berbeza dan berlainan boleh menimbulkan kekacauan dalam penghakiman," katanya.

Sementara itu, Raja Aziz berkata pembelaan mengemukakan permohonan di peringkat itu kerana 10 daripada saksi mereka tidak dibenar memberi keterangan dan ia menyukarkan pembelaan untuk mengemukakan kes mereka dan isu berhubung mala fide tidak timbul.

Beliau berkata mengikut undang-undang mereka berhak membuat permohonan itu di mana-mana peringkat dan adalah menjadi tugas mahkamah untuk memutus dan menimbang permohonan itu.

Timbalan kanan pendakwa raya Datuk Abdul Gani Patail juga mengemukakan perkara undang-undang sebagai membalas penghujahan Raja Aziz.

Selepas Paul memberikan keputusannya, Raja Aziz meminta nasihat mahkamah mengenai arah perjalanan seterusnya bagi kes ini kerana dalam prosiding yang lepas mahkamah telah menetapkan 6 April untuk mengumumkan keputusan selepas pembelaan tidak mahu membuat penghujahan.

Hakim kemudian meminta pembelaan membuat permohonan bagi mereka mengemukakan penghujahan tetapi Mohtar memberitahu mahkamah bahawa satu keputusan telah dibuat berhubung perkara itu dan mencadangkan supaya kedua-dua pihak mengemukakan penghujahan bertulis.

"Demi keadilan, ia harus dibuat secara lisan," kata Raja Aziz.

Paul membenarkan permohonan Raja Aziz untuk memberi penghujahan secara lisan dan menetapkan Selasa ini untuk mendengar penghujahan daripada kedua-dua belah pihak.

Terdahulu Paul memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau tidak bercadang mengambil tindakan memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap pasukan pembelaan kerana beliau tidak mahu mindanya diganggu oleh sebarang isu.

Katanya beliau mempertanggungjawabkan Peguam Negara untuk menimbangkan tindakan susulan yang akan diambil. Selasa lalu, Paul memberitahu mahkamah bahawa beliau atau Peguam Negara akan mengambil tindakan memulakan Prosiding menghina mahkamah terhadap pasukan pembelaan kerana tindak tanduk mereka yang enggan membuat penghujahan pada akhir perbicaraan itu.