Parti
Keadilan Nasional (keADILan) yang dilancarkan dua bulan yang lalu, kini semakin mendapat
sokongan rakyat pelbagai lapisan. Perjuangan menegakkan keadilan dan membebaskan rakyat
dari belenggu pemerintahan zalim dan kejam, semakin mantap dan diterima.
Saya mengambil kesempatan di sini untuk mengumumkan kemasukan tiga
orang tokoh yang kebetulan berasal dari negeri Perak ke dalam KeADILan. Mereka ialah
Senator Hamzah Mohd. Zain, Dr. Mohd. Nur Manuty dan Saudara Mustaffa Kamil Ayub.
Senator Hamzah, merupakan bekas Ahli Parlimen Barisan Nasional bagi
Parlimen Chenderoh. Beliau juga merupakan bekas Ketua Pemuda UMNO Negeri Perak dan
sehingga kemasukan beliau ke dalam KeADILan, beliau merupakan pemimpin dan tokoh UMNO bagi
negeri ini.
Manakala Dr. Mohd. Nur Manuty, adalah pensyarah di Universiti Islam
Antarabangsa (UIA). Beliau merupakan bekas Dekan Hal Ehwal Pelajar UIA dan juga bekas
Presiden ABIM.
Saudara Mustaffa Kamil Ayub pula kini masih memegang jawatan Naib
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM). Beliau merupakan pemimpin mahasiswa yang dikenali
ramai dan masih memegang jawatan sebagai Presiden Majlis Belia ASEAN.
Saya percaya, kemasukan mereka ke dalam KeADILan akan memantapkan lagi
perjuangan KeADILan menegakkan keadilan sejagat. Kesediaan mereka menyertai KeADILan
adalah langkah berani demi mendaulatkan keadilan di negara ini, walaupun akan berhadapan
dengan pelbagai risiko.