ANWAR FAILKAN AFIDAVIT MENYOKONG SUKMA

KUALA LUMPUR, 31 Dis (AFP) - Peguambela Dato' Seri Anwar Ibrahim hari ini, Khamis, telah memfailkan satu affidavit menyokong permohonan adik angkat beliau, Sukma Darmawan, bagi memohon mahkamah mengkaji semula hukuman enam bulan penjara yang dijatuhkan.

Di dalam affidavit berkenaan, Anwar mendakwa bahawa beliau tidak pernah melakukan sebarang hubungan homoseksual dengan Sukma dan ini disokong dengan kenyataan pakar perubatan Dr. Zahari Noor Selasa lalu bahawa ketika memeriksa Sukma, beliau tidak menjumpai sebarang bukti bahawa Sukma pernah diliwat.

"Testimoni Dr. Zahari Noor telah dengan jelas menjadikan kenyataan bersalah Sukma pada 19 September 1998 sebagai tidak lagi bermakna dan tidak berasas".

"Testimoni Dr. Zahari itu juga telah membersihkan saya dan pemohon (Sukma)", kata Anwar.

Kenyataan Dr. Zahari bahawa "beliau mendapati tiada sebarang kecederaan samada lama atau pun baru pada bahagian sulit Sukma" jelas sekali menunjukkan bahawa segalanya (berhubung dengan Sukma) adalah rekaan belaka dan akan lebih jelas dalam perbicaraan Sukma.

Anwar mendakwa bahawa "pentadbiran keadilan sudah dikotori dengan teruk tanpa boleh diperbaiki lagi" dan pengakuan bersalah Sukma jelas sekali tidak dibuat dengan kerelaannya melainkan penuh dengan "keganasan terhadap beliau".

"Saya dengan hormatnya menyatakan bahawa keadaan ketidakadilan merupakan suatu perkara yang amat perit. Saya telah dinafikan kedudukan saya dalam kerajaan melalui suatu jaringan konspirasi oleh kuasa-kuasa jahat berkedudukan tinggi, dan pemohon (Sukma) di dalam proses ini telah (menjadi mangsa) terpaksa menanggung kesengsaraan dalam bentuk penahanan tanpa sah dan menyeksakan, memalukan dan pertuduhan yang penuh berniat jahat.", ujar Anwar dalam affidavitnya.

sumber: Diterjemahkan dari AFP

Ulasan Berita

Kenyataan Dr. Zahari tempoh hari telah membersihkan Anwar Ibrahim sekurang-kurangnya dari tuduhan meliwat Sukma. Ianya juga telah membersihkan Sukma dari tuduhan diliwat oleh Anwar seperti mana pengakuan bersalah beliau dahulu.

Ini juga membuktikan bahawa sememangnya Sukma telah dipaksa oleh pihak polis membuat pengakuan bersalah tempoh hari. Ini bukan kerja orang lain melainkan SAC 1 Musa Hassan.

Jika Sukma dipaksa, maka tidak mustahil Dr.Munawar Anees juga telah dipaksa membuat pengakuan bersalah, dan sewajarnya Munawar juga turut dibebas. Sekali lagi, kewibawaan dan kredibiliti polis tercemar dan dakwaan bahawa polis sering mengugut dan memaksa orang yang ditangkap lebih terserlah dan jelas.

Jika begini keadaannya di mana polis boleh memaksa dan mengugut untuk mewujudkan bukti palsu dan saksi palsu, bagaimana lagi kita boleh percaya keterangan yang diberikan oleh mereka seperti Ummi Hafilda. Azizan dan polis-polis yang lain termasuk juga dari ahli kimia Lim Kong Boon itu. Tidak mustahil si Lim itu juga diugut kerana mereka telah terdesak.

Dengan kenyataan Dr. Zahari, kita sudah boleh merumuskan bahawa kesemua 5 tuduhan homoseksual Anwar adalah karut dan rekaan belaka. Sebab itulah pihak pendakwaraya tidak berani membawa kes ini dahulu tetapi mendahulukan kes salahguna kuasa.

~Doi Moi.