AWAS SABOTAJ JAHAT BN
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) menyeru seluruh pimpinan
parti alternatif dan rakyat Malaysia agar berhati-hati dengan strategi jahat yang akan
dilakukan oleh BN dengan menjatuhkan maruah pimpinan PAS dan parti alternatif lain yang
bertujuan untuk memburuk imej perjuangan parti-parti alternatif. DPP Pusat sangat
membimbangi hal ini kerana BN sebagai parti yang mengamalkan dasar matlamat menghalalkan
cara akan melakukan apa sahaja ketika BN berada dalam keadaan yang terdesak seperti
sekarang ini.
DPP Pusat tidak menolak kemungkinan mereka akan merancang untuk menuduh
PAS sebagai parti pengganas dengan menggambarkan keterlibatan PAS dalam pembentukan
tentera bawah tanah dan sebagainya. Mereka mungkin mengumpulkan senjata tajam, senjata api
dan sebagainya seperti yang dilakukan terhadap As-Syahid Ustaz Ibrahim Libya untuk
menggambarkan kegiatan haram PAS dengan harapan imej PAS akan terjejas dalam pilihanraya
ini.
DPP Pusat juga dapat merasakan bahawa kemungkinan beberapa pimpinan
alternatif akan dimalukan dengan pelbagai kes yang melibatkan skandal rasuah, pecah
amanah, seks, pengedaran dadah dan sebagainya. Mereka mungkin akan meletakkan dadah di
halaman rumah pimpinan alternatif dan membawa polis serta TV3 untuk memalukan pimpinan
alternatif walaupun belum dapat dibuktikan kesalahan mereka.
DPP Pusat memandang berat kemungkinan-kemungkinan taktik jahat ini akan
berlaku memandangkan BN berada dalam keadaan yang sangat terdesak untuk berhadapan dengan
rakyat dalam pilihanraya umum yang akan berlangsung dalam masa yang terdekat ini. Dengan
pelbagai kegawatan politik, ekonomi dan sosial yang berlaku diikuti pula oleh perpecahan
dalam parti-parti BN seperti krisis Wanita Umno, Pemuda Umno, Pemuda PPP, krisis 3 Tan
dalam Gerakan, dan sebagainya menambahkan lagi kebimbangan BN yang mendorong mereka
bertindak jahat terhadap pimpinan parti-parti alternatif.
Pengalaman Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjawat jawatan Timbalan
Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri dijatuhkan dengan konspirasi jahat yang sangat
memalukan amat wajar dijadikan pengajaran terhadap strategi jahat dan kotor BN. Mereka
akan menggunakan segala alat kerajaan meliputi pasukan polis, media massa, Jabatan Peguam
Negara, BPR, Badan Kehakiman dan sebagainya untuk menjatuhkan maruah pemimpin parti-parti
alternatif.
DPP Pusat menyeru seluruh rakyat Malaysia agar bersedia dengan jiwa
yang besar untuk berhadapan dengan taktik kotor ini. DPP Pusat mengharapkan semua rakyat
memperteguhkan hati dan pendirian mereka untuk menolak BN walaupun dimomokan dengan
pelbagai tuduhan dan fitnah palsu yang dirancang khusus untuk memalukan pemimpin
alternatif.
HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat