KENYATAAN OLEH DR SYED HUSIN ALI PRESIDEN PARTI RAKYAT MALAYSIA (PRM)

BERHENTI MEMPOLITIKKAN TARIKH PILIHANRAYA

Semalam, buat kesekian kalinya, Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir ohamad, bermain sembunyi dengan tarikh pilihanraya kebangsaan yang akan datang. Apabila ditemu ramah di negeri China, beliau menegaskan bahawa lawatannya ke negeri itu tidak ada kena mengena dengan pilihanraya, walaupun ramai orang mempercayai sebaliknya. Beliau juga memberitahu, sekiranya apa-apa berlaku (dan mungkin maksudnya ialah pilihanraya), beliau tidak akan ke New Zealand untuk menghadiri Persidangan APEC. Lagi pula mengikutnya APEC, seperti juga dengan sistem kewangan antarabangsa, tidak telus. Saya setuju. Tetapi, mengapakah Mahathir tidak mahu telus pula mengenai perkara-perkara yang berhubung dengan pilihanraya?

Mahathir telah mempolitikkan segala-galanya yang boleh memberikan keuntungan politik, yang sangat-sangat diperlukannya sekarang. Tarikh pilihanraya ialah satu perkara yang tidak patut dipolitikkan. Tetapi, tanpa segan silu inilah perkara yang sentiasa dipolitikkannya kini. Beliau hendaklah segera berhenti berbuat demikian.

Banyak negara menetapkan tarikh pilihanraya mereka lama sebelum pilihanraya diadakan. Banyak yang sudah tahu tarikh itu tiga hingga enam bulan sebelumnya. Bahkan ada yaxng sudah mengetahuinya setahun atau lebih terlebih awal. Mahathir mesti berani dan yakin untuk memberitahu bila pilihanraya akan diadakan. Sangat memalukan apabila beliau berterusan, setiap empat atau lima tahun, menggunakan tarikh pilhanraya untuk keuntungan politiknya. Beliau membuat orang tertanya-tanya dan kemudian mengumumkan pilihanraya secara mengejut. Ini tidak adil.

PRM akan terus berkempen supaya tarikh pilihanraya ditetapkan mengikut undang-undang pada masa hadapan.

DR SYED HUSIN ALI

Presiden PRM

21 Ogos 1999