KENYATAAN DR SYED HUSIN ALI PRESIDEN PARTI RAKYAT MALAYSIA (PRM) PADA 16 OGOS 99

BERTINDAK CEPAT TERHADAP KORUPSI

Sangat menarik sekali bahawa pihak polis begitu cepat bergerak untuk menyiasat Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas Timbalan Perdana Menteri, dan Ezam Mohd Noor, ketua Pemuda keADILan. Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dilaporkan telah mengarah polis supaya bertindak segera. Beberapa orang pemimpin pemerintah BN, di antaranya terkenal kerana tuduhan korupsi terhadap mereka, semuanya menyeru supaya tindakan keras diambil terhadap Anwar dan Ezam kerana melanggar OSA dan juga kerana kononnya "menderhaka" berhubung dengan dokumen-dokumen "rahsia" kerajaan itu.

Mengapakah para menteri dan pemimpin BN serta pegawai-pegawai polis dan BPR tidak begitu cepat dan tegas melakukan penyiasatan terhadap ketiga-tiga aduan polis yang dibuat oleh Anwar terhadap Tan Sri Eric Chia, Datuk Paduka Rafidah Aziz dan Tun Daim Zainuddin? Sudah kira-kira tiga tahun sejak Anwar membongkar kes Perwaja dalam Parlimen. Mengapakah tiada tindakan diambil hingga kini? Sudah lebih lima tahun kes Rafidah dibangkitkan dalam Parlimen juga. Mengapakah masih disapu ke bawah tikar? Sekarang beberapa dokumen bukti telah dikemukakan berhubung aduan terhadap Daim. Adakah semua orang akan terus tuli dan membisu?

Pengarah BPR mendakwa semalam bahawa selama empat bulan yang lalu beliau tidak ada menerima apa-apa aduan tentang korupsi. Lebih dua tahun lalu, pada 5hb Ogos 1997, saya bersama-sama beberapa orang pemimpin politik dan aktivis NGO telah mengemukakan sebuah memorandum kepada BPR berhubung kes Eric Chia, Tan Sri Muhammad Taib Muhammad dan senarai hampir 200 syarikat di mana tiga orang putera Perdana Menteri mempunyai kepentingan. Sehingga hari ini kami tidak menerima sebarang surat pun daripada BPR. Bolehkah kami tahu apakah siasatan yang telah dilakukan mengenai perkara-perkara yang ditimbulkan dalam memorandum itu?

Pihak polis dan BPR hendaklah bersikap adil dan tidak berat sebelah. Mereka harus bersedia dan berani bertindak bukan saja ke atas musuh-musuh para menteri dan pemimpin BN, bahkan juga ke atas sanak saudara dan kawan-kawan mereka itu, apabila ada saja laporan yang dibuat demi kebenaran dan keadilan.

DR SYED HUSIN ALI

Presiden PRM

16hb Ogos 1999