GOLONGAN MISKIN TIDAK PERLUKAN MAHLIGAI
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP
Pusat) melahirkan rasa amat kesal terhadap kenyataan Perdana Menteri yang menghina
golongan miskin demi untuk mempertahankan tindakannya membina mahligai ketika rakyat
menderita dilanda kegawatan ekonomi. Kenyataan angkuh Perdana Menteri yang menyebut orang
miskin tidak perlu dibina mahligai membuktikan Perdana tidak menghargai sumbangan golongan
bawahan tetapi sangat mengutamakan golongan atasan dari kalangan kroninya.
DPP Pusat ingin menegaskan kepada PM
bahawa rakyat miskin di negara ini tidak pernah berhasrat untuk dibinakan mahligai seperti
mahligai Perdana Menteri, tetapi mereka sangat mengharapkan kerajaan menggunakan wang di
dana rakyat seperti PNB, Khazanah Holding, Petronas, KWSP dan sebagainya untuk membantu
mereka membina kehidupan yang selesa dan sejahtera. Tetapi peluang hidup selesa ini telah
dinafikan oleh kerajaan apabila kerajaan menggunakan dana rakyat ini untuk
membail-out kroni mereka. Sepatutnya hasil negara diagih kepada semua rakyat
bukannya hanya kepada kaum keluarga pemimpin BN sahaja yang dapat.
DPP Pusat juga melihat kenyataan
angkuh PM ini sebagai menghina golongan miskin. BN memang daripada dahulu hanya berbaik
dengan rakyat bawahan apabila dekat dengan pilihanraya, tetapi menghina mereka selepas
undi diperolehi. Rentetan peristiwa penghinaan ini seperti kenyataan Menteri Perusahaan
Utama, Dato Seri Dr Lim Keng Yeik yang menghina penoreh getah, kenyataan PM di
Perhimpunan Agung Umno yang mendakwa orang miskin tidak memberu sumbangan kepada negara
dan sebagainya membuktikan bahawa kerajaan bersikap antagonis terhadap rakyat bawahan.
Rakyat miskin yang dihina inilah
sebenarnya yang memberikan undi kepada Umno. Adalah tidak wajar PM bersikap sedemikian
terhadap mereka. PM juga seharusnya sedar bahawa merekalah menggerakkan ekonomi negara
terutama di sektor pertanian. Jika tidak ada golongan ini, sudah tentu negara akan
menghadapi masalah ekonomi yang lebih dahsyat. Dasar kerajaan yang terlalu bergantung
kepada industri dan mengabaikan sektor ini terbukti merosakkan dengan kegawatan yang
berlaku.
DPP Pusat mengambil kesempatan ini
untuk menyeru seluruh rakyat di desa agar tidak lagi melilih kerajaan yang angkuh seperti
BN. Rakyat di kota yang rata-rata memiliki keluarga di desa juga mesti mengambil tindakan
yang sama demi memastikan kehidupan selesa rakyat dapat dijamin melalui pembentukan
kerajaan alternatif yang adil dan sejahtera.
HAJI MAHFUZ HJ OMAR
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat |