KENYATAAN MEDIA GAMIS BERHUBUNG ISU KERACUNAN KE ATAS DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM

GAMIS dengan ini memandang serius kepada percubaan membunuh Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan membidas kenyataan YAB Dato’ Seri Dr. Mahathir yang membangkitkan soal kelewatan Dato’ Seri Anwar memaklumkan kepada pihak berkuasa. Dato Seri Dr. Mahathir yang juga Perdana Menteri Malaysia telah membangkitkan kenapa setelah empat belas hari baru beliu membuat laporan. GAMIS melihat tidak timbul isu kelewatan membuat laporan oleh mangsa di sini tetapi apa yang perlu di beri perhatian ialah bagaimanakah mangsa boleh diracuni dalam keadaan kawalan yang begitu ketat telah diambil terhadapnya.

GAMIS juga membidas kenyataan yang telah dibuat oleh Peguam Negara yang secara melulu menuduh keluarga mangsa telah bertindak meracuni makanan mangsa. Adalah mustahil seorang isteri mahupun seorang anak yang sudah diketahui tahap kasih sayang mereka kepada suami dan ayah tercinta sanggup berbuat demikian. Apatah lagi setelah sekian lama dipisahkan secara tidak bertanggungjawab oleh pihak berkuasa dan dalam suasana masing-masing saling merindui antara satu sama lain sanggup melakukan perbuatan terkutuk itu.

Kami melihat kedua-dua kenyataan yang tidak bertanggungjawab ini sebagai satu cubaan untuk mengalihkan isu sebenar. Sekali lagi suatu konspirasi bagi menamatkan riwayat seorang pejuang keadilan cuba ditutup atas nama cubaan untuk memecah belahkan masyarakat serta tidak mengikut tatacara yang telah ditetapkan.

Tuduhan mangsa cuba untuk melambat-lambatkan laporan adalah tidak benar sama sekali jika dirujuk kepada kenyataan media oleh Dr. Wan Azizah pada 12 September 1999 yang berbunyi seperti berikut:

Merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri dan beberapa pemimpin kerajaan yang lain tentang kelewatan 14 hari memaklumkan keputusan ujian makmal sampel air kencing Saudara Anwar Ibrahim oleh pihak peguambela di mahkamah, saya dengan ini ingin memberikan penjelasan yang terperinci tentang isu tersebut:-

1. Sampel air kencing Saudara Anwar dihantar kepada Gribbles Pathology Malaysia Berhad di Petaling Jaya pada 18 Ogos 1999.

2. Gribbles Pathology Melbourne, Australia melakukan ujian terhadap sampel tersebut pada 26 Ogos 1999.

3. Laporan komputer mengenai keputusan ujian makmal Gribbles Pathology, Melbourne dicetak pada 8 Sep 1999 jam 7.02 petang.

4. Laporan komputer hanya sampai kepada saya pada 9 Sep 1999.

5. Maklumat ini segera dibawa ke pengetahuan mahkamah pada 10 Sep 1999.

Oleh itu jelas bahawa dipihak saya dan peguam-peguambela tidak pernah sama sekali melambatkan pengumuman keputusan ujian makmal seperti yang didakwa oleh Perdana Menteri dan pemimpin-pemimpin kerajaan yang lain. Kenyataan-kenyataan mereka itu menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab dan tidak prihatin langsung kepada kesihatan dan kesejahteraan Saudara Anwar Ibrahim di dalam penjara.

Ini adalah sama seperti sikap yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri dan pemimpin-pemimpin kerajaan yang lain dalam peristiwa pembelasahan Saudara Anwar Ibrahim oleh bekas Ketua Polis Negara pada 20 Sep 1998.

Saya menganggap kenyataan Perdana Menteri dan pemimpin kerajaan tentang isu tahap racun yang terlalu tinggi dalam sampel kencing Saudara Anwar Ibrahim sebagai satu lagi bukti tentang cara mereka dengan sengaja memutarbelitkan dan memesong pemikiran rakyat dari isu sebenar.

Datin Seri Dr. Wan Azizah

Jelas di sini wujudnya suatu konspirasi jahat pihak tertentu untuk menutup kes ini. Adalah suatu yang menghairankan kandungan racun Arsenik yang berjumlah 230.0 ug/g creatinin boleh berada dalam diri seseorang manusia biasa apatah lagi ianya berada dalam diri manusia yang dikawal makan minumnya. Sedangkan mangsa yang pernah menjadi orang nombor dua dan telah berjasa kepada UMNO selama 17 tahun dalam negara ini yang senantiasa diberi liputan keatasnya boleh diperlakukan sedemikian, apatah lagi rakyat biasa yang kini sedang dalam tahanan. Apakah ada satu jaminan bahawa mereka tidak pernah dan tidak akan diperlakukan sedemikian juga. Secara tidak langsung, ia telah menidakkan ketelusan perlaksanaan dan keadilan dalam sistem undang- undang yang ada di negara kita.

GAMIS dengan ini mendesak agar Kerajaan Malaysia di bawah Kementerian Dalam Negeri, Polis Di Raja Malaysia dan Jabatan Penjara Malaysia bertanggungjawab penuh atas kemalangan ini dan tidak cuba mempolitikkan isu ini dengan mengalihkan isu melalui kenyataan yang tidak masuk akal.

GAMIS juga mendesak Kerajaan Malaysia melalui agensi yang terbabit agar memberikan suatu jaminan ke atas keselamatan dan kesihatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika dalam tahanan.

GAMIS dengan ini ingin melahirkan rasa simpati kepada keluarga mangsa dan berharap agar keluarga mangsa tidak putus asa dalam mencari keadilan buat mangsa.

Akhir sekali GAMIS menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar bersatu padu dalam menumbangkan kezaliman dan menegakkan Kebenaran serta Keadilan buat rakyat

Burhanuddin bin Ahmad

Presiden Gamis