KENYATAAN AKHBAR OLEH DATO' SERI ANWAR IBRAHIM (21 JUN 1999)

Ucapan DS Dr. Mahathir Muhammad selaku Presiden UMNO dan ucapan penggulungannya baru-baru ini menzahirkan sikap dendam kesumat dan kebencian peribadi terhadap saya. Beliau belum berpuas hati dengan tempoh saya dipenjara atau kesan saya dibelasah. Bahkan baru-baru ini, Kementerian Dalam Negeri mengenakan peraturan ketat dan tidak membenarkan saya menyentuh anak-anak tatkala melawat saya dipenjara. Cara beliau merepek dan mengarut membayangkan usianya yang lanjut dan rasa resah kerana kesedaran rakyat yang tinggi terhadap rasuah dan penyelewengan beliau. Bahkan beliau hanya menyerang dan memaki hamun saya dan pemimpin-pemimpin PAS tanpa menjawab tuduhan serius terhadap beliau.

Saya tetap akan menggunakan hak saya memberikan penjelasan walaupun media utama memilih untuk tidak menyiarkannya. RTM bertanggungjawab kepadanya; kumpulan Utusan Melayu dibawah pengawasannya; kumpulan NST termasuk Berita Harian dan TV 3 dibawah Tun Daim dan Dato Seri Dr. Mahathir. Rakyat berhak mendapat keterangan dan fakta; tidak terpedaya dengan tipu-muslihat dan dakyah orang berkuasa dan saudagar kaya. Sebahagian daripada penjelasan adalah seperti berikut:

1. Pengaruh Asing. Saya dikaitkan dengan APDC, Washington dan Pengarahnya Dong Paul. Sebenarnya APDC dan ISIS telah menganjurkan Pacific Dialogue. Saya adalah penyelaras bagi pihak Malaysia dan Senator William Cohen pada ketika itu menyelaras bagi pihak Amerika Syarikat. Sekretariat bersama ialah Dong Paul dan Tan Sri Nordin Sopie. Semua dialog tersebut dirasmikan oleh PM, Dato Seri Dr. Mahathir. Timbalan Menteri, Ketua Menteri, tokoh-tokoh akademik dan korporat turut menyertai dialog tersebut.

2. Lawatan ke Luar Negara. Selaku TPM, saya tidak banyak menjelajah keluar negara kerana DS Dr. Mahathir memang senentiasa melawat negara asing. Tetapi tidak benar saya hanya ke Amerika Syarikat dan Perancis. Saya ke Washington setiap tahun untuk menghadiri Sidang Bank Dunia dan IMF; dan hanya sekali ke Perancis. Saya lebih sering melawat negara ASEAN dan pernah ke Cina, Korea, Jepun, Sudan, Emirat Arab Bersatu (UAE) dan Pakistan. Semasa kunjungan diiringi oleh Azizah. Pengawal-pengawal polis mengiring saya dalam semua acara dan program.

3. RM 2 Billion Ringgit Dari Petronas. Hampir 2 billion ringgit diluluskan oleh Petronas untuk syarikat kepunyaan Mirzan Mahathir. Petronas adalah milik kerajaan dan khazanah negara serta bertanggungjawab penuh kepada PM. Saya tidak terlibat dengan kelulusan dana penyelamat tersebut. Sebab itu saya telah meminta disiasat kelulusan tersebut kerana terdapat pencanggahan kepentingan dan berunsur rasuah.

4. Tuduhan Salahlaku Seks Terhadap Saya. DS Dr. Mahathir sekali lagi mengulangi fitnah terhadap saya. Beliau sebenarnya telah menghukum saya pada 2 September 1998 dan telah berulang kali mencerca dan menggunakan media untuk mengaibkan saya. Setelah 9 bulan, kerana rakyat tidak terpedaya dengan fitnah, beliau menambah dengan alasan rekaan baru kononnya beliau percaya dengan makluman yang disampaikan kepadanya oleh 2 perempuan sundal dan pemandu. Kali ini, beliau seolah-olah telah memberi arahan supaya mahkamah terus menghukum kerana bagaimana tidak jika beliau telah begitu yakin. Saya kesal dengan sikap seorang pemimpin tua yang bolih bertindak sehina itu, memfitnah, mencerca, dan mengaibkan saya semata-mata kerana takut dengan dasar dan perubahan yang saya bakal lakukan.

5. Tun Daim. Tun Daim menafikan bahawa beliau membawa keluar wang sekitar akhir September. Saya telah diberikan maklumat oleh Bank Negara Malaysia dengan keterangan penerbangan Kuala Lumpur-Zurich; dengan dua tempat duduk kelas pertama bersebelahan Tun Daim yang dikosongkan untuk diletakkan beg-beg tersebut. Saya terpaksa melaporkan perkara tersebut kepada PM minta disiasat. PM kurang senang dengan laporan tersebut dan minta perkara tersebut ditutup. Saya juga telah mengemukakan dokumen membuktikan 3 tokoh korporat menyogokkan wang dan saham sekitar 600 juta ringgit kepada Tun Daim semasa beliau menjawat Menteri Kewangan. DS Dr. Mahathir juga mendiamkan perkara tersebut dan tiada sebarang siasatan dilakukan.

6. Derhaka Kepada UMNO. Saya patuh kepada perjuangan parti. Saya bekerja keras mengukuh parti dan taat kepada pimpinan dan arahan parti. Olih kerana sayang kepada ahli-ahli Parti dan rakyatlah maka saya menegur penyelewengan dan rasuah dan menekankan pentingnya projek-projek yang menguntungkan rakyat seperti pembangunan luar bandar dan perumahan kos rendah. Ahli-ahli UMNO mahu nasib mereka diperjuangkan dan bukan menggunakan parti dan kerajaan untuk menguntungkan keluarga dan kroni. Kerana kesetiaan pada parti maka saya menegur Presiden bila DS Dr. Mahathir mempersenda agama, hukum dan ulama. Dan kerana kecintaan kepada parti maka penyelewengan harus diberhentikan. Malangnya, kerana takut kehilangan kedudukan dan harta, ramai pemimpin memileh mempertahankan penyelewengan dan rasuah. Saya bertanggungjawab mendedahkan penyelewengan dan menyelamatkan bangsa dan negara dari dinodai olih nafsu tamak haloba olih pemimpin-pemimpin.

Konspirasi bagi menjatuhkan saya dari politik dan kerajaan ialah untuk menghalang berlakunya perubahan dan kerana kepentingan keluarga dan kroni terjejas. Sebab itu mereka berusaha menghalang saya dari membuat sebarang kenyataan atau membongkar penyelewengan. Saya hanya menuntut keadilan. Saya telah difitnah dan sewajarnya saya diberi peluang memberi penjelasan.

Anwar Ibrahim

21 Jun 1999