Sepertimana
yang dijangka, Dato Seri Dr. Mahathir Mohammad dan beberapa pemimpin UMNO dan Barisan
Nasional gelabah dan bimbang dengan kenyataan bahawa terdapat dokumen di dalam dan luar
negara.
Memang benar sepertimana yang saya nyatakan pada bulan September 1998
yang lalu bahwa saya punyai dokumen yang membuktikan wujudnya konspirasi peringkat
tertinggi untuk menjatuhkan saya. Dan, saya punyai cukup bukti untuk menunjukkan bahawa
Dato Seri Dr. Mahathir, Tun Daim Zainuddin dan beberapa pemimpin terlibat dengan rasuah,
penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan.
Sebagai rakyat yang patriotik dan cintakan negara, adalah menjadi
tanggungjawab saya untuk mendedahkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Adalah satu
pengkhianatan bagi sesiapa jua yang melindungi atau mempertahankan perasuah.
Dokumen-dokumen yang terdapat dalam simpanan saya berkaitan dengan
rasuah dan penyelewengan. Saya tidak menyimpan dokumen yang berkaitan dengan keselamatan
negara. Percubaan para kroni dengan dokongan media tempatan membesarkan isu keselamatan
negara adalah bertujuan mengalih pandangan rakyat dari isu pokok iaitu rasuah dan
penyalahgunaan kuasa.
Rakyat yang bertanggungjawab, patriotik perlu terus mendesak supaya
siasatan dan tindakan diambil terhadap perasuah. Saya telah mengeluarkan tiga bukti dalam
lapuran-lapuran Polis. Pertama, dalam kes kertas pendakwaan Jabatan Peguam Negara, yang
melibatkan Dato Paduka Rafidah Aziz.
Kedua, dalam kes Perwaja yang melibatkan Dato Seri Dr Mahathir kerana
meluluskan kontrak dan projek sebanyak berbillion rirggit tanpa tender dan peraturan
kewangan. Dato Seri Dr. Mahathir terlibat kerana berpakat dengan Tan Sri Eric Chia. Dan
ketiga, rasuah dan pecah amanah jenayah yang melibatkan Tun Daim Zainuddin yang menerima
ratusan juta ringgit dari tiga tokoh korporat.
ANWAR IBRAHIM