Anwar Mohon Dapatkan Khidmat Pakar DNA

Berita Harian Khamis 31 Disember 1998 12 Ramadan 1419

KUALA LUMPUR, Rabu - Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengemukakan notis usul di Mahkamah Tinggi di sini hari ini untuk mengetepikan keputusan mahkamah sebelum ini yang menolak permohonannya untuk mendapatkan pakar DNA. Notis usul itu yang dikemukakan pada jam 2.30 petang. Anwar memohon supaya beliau diberikan masa untuk mendapatkan khidmat pakar DNA bagi membantu peguamnya menyoal balas saksi pendakwa berhubung analisis DNA.

Menurutnya, bagi tujuan itu beliau memohon pemeriksaan balas lanjut terhadap saksi-saksi pendakwa itu perlu ditangguhkan sehingga 7 Januari depan. Anwar juga memohon supaya peguamnya dibenarkan menyoal balas Ketua Unit Patologi Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Abdul Halim Manzar, yang menjalankan pemeriksaan perubatan ke atasnya berhubung penemuan dan laporannya kerana keterangan itu penting, terutama kepada isu mala fide (berniat jahat) dan bagi tujuan untuk memanggil semula saksi berkenaan. Permohonan itu disokong oleh afidavit Anwar yang dikemukakan bersama.

Dalam afidavitnya, Anwar berkata peguamnya memohon kepada Hakim Datuk S Augustine Paul yang mendengar kes rasuahnya, supaya diberikan masa yang secukupnya bagi mendapatkan pakar itu atas sebab-sebab berikut:

a. Bahawa keterangan profil DNA sangat penting kepada kes pendakwa dan pembela dan adalah wajar supaya pihak pembela diberikan masa yang secukupnya untuk mendapatkan pakar-pakarnya sendiri untuk menasihati peguam bela berhubung pemeriksaan balas saksi yang dipanggil oleh pendakwa;

b. Bahawa bagi tujuan itu adalah wajar bagi pakar-pakar itu untuk berada di mahkamah bagi mendengar keterangan pendakwa supaya mereka dapat memberi nasihat kepada peguambela;

c. Bahawa laporan DNA pendakwa tidak diperolehi oleh peguam bela sehingga pada tengah hari 22 Disember 1998;

d. Bahawa percubaan untuk menghubungi pelbagai pakar mengenai profil DNA, yang dibuat sejurus selepas itu, tidak berjaya kerana mereka bercuti Hari Natal dan Tahun Baru dan akan hanya kembali bekerja selepas 4 Januari depan.

Anwar berkata, selepas mendengar bantahan daripada pendakwa, hakim menolak permohonannya atas alasan bahawa maklumat berhubung ujian DNA dan memprofilnya kini boleh diperolehi daripada buku-buku rujukan dan penerbitan lain.

Beliau berkata, berikutan itu pendakwa memanggil seorang saksi hari ini untuk memberi keterangan berhubung ujian DNA yang dijalankan Jabatan Kimia dan peguamnya akan menjalankan pemerikaan balas sebaik yang termampu oleh mereka.

"Oleh kerana pemeriksaan balas terhadap aspek-aspek yang lebih teknikal mengenai ujian yang dijalankan akan memerlukan nasihat pakar, saya memohon supaya hakim dapat menimbang membenarkan pemeriksaan balas ke atas pakar atau pakar-pakar yang dipanggil oleh pendakwa ditunda sehingga 7 Januari 1999 bagi membolehkan pihak pembela menghubungi semula pakar-pakar DNA berkenaan," katanya.

Anwar berkata, peguamnya juga enggan menerima tawaran hakim supaya menggunakan khidmat seorang daripada pakar yang bertugas dengan Jabatan Kimia atas arahannya.

Permohonan itu akan didengar di hadapan Paul esok.