MEMAHAMI PSIKOLOGI DAN MOTIF UMI HAFILDA ALI |
Selamat menjalani ibadah puasa dengan tekun dan sabar. Puasa tahun ini ada sedikit kelainan kerana di saat ini kita tidak dapat mengalihkan perhatian kita dari perbicaraan Dato' Seri anwar Ibrahim yang sedang berlangsung sekarang ini. Lebih hebat lagi baru dua hari kita berpuasa, Umi Hafilda pun dipanggil untuk memberi keterangan - saksi pendakwa yang paling sensasi kerana surat beliau kepada Dr. Mahathirlah yang telah mencetuskan isu ini. Umi yang selama ini cukup menarik perhatian dengan pakaian-pakaian mahal yang diperagakan akhirnya dipanggil sebagai saksi. Kita ingat bahawa kita telah melihat kemuncak kejahatan dalam episod Anwar ini. Rupa-rupanya di dalam sesi soal balas peguam bela DS Anwar tahulah kita betapa kesediaan wanita bernama Umi Hafilda ini untuk melakukan apa sahaja untuk mencapai matlamatnya - walaupun dengan menfitnah ayah dan adek-beradeknya sendiri. Sekarang barulah kita dapat memahami kenapa seorang ayah tergamak memutuskan zuriat anaknya dan tidak mengaku anaknya dunia akhirat. Tindakan memutuskan hubungan zuriat ini sebenarnya tidak ada dalam Islam, berdosa malah satu tindakan yang mustahil untuk diterima. Kalau tindakan memutuskan silaturrahim dengan saudara seagama sudah dianggap dosa besar di dalam Islam apatah lagi mumutuskan hubungan zuriat. Lagipun bagaimana mungkin seseorang itu memutuskan hubungan dan tidak mengaku anak kerana hakikatnya dia tetap anak beliau, meskipun dia tidak mengakuinya lagi. Tetapi setelah mengetahui latar belakang Umi Hafilda ini, betapa dia telah bersikap biadab terhadap ibunya, menfitnah ibu dan ayahnya sehingga mereka bercerai, kita sekurang-kurangnya dapat bersimpati dengan Haji Ali. Mungkin dia terdorong melakukannya kerana tekanan batin yang tidak tertanggung lagi. Ini tidak mustahil berlaku kepada ibu dan ayah yang berhadapan dengan anak yang sangat derhaka serta sanggup melakukan perbuatan yang terkutuk itu. Mungkin atas dasar inilah Pak Ali tergamak untuk membuang anaknya. Hubungan antara ibu bapa dengan anak boleh terputus apabila salah satu darinya keluar dari Islam atau bertukar kafir tetapi anak tetap bertanggungjawab melayani orang tuanya dengan baik dan beradab meskipun mereka telah kafir atau keluar dari agama Islam; sandaran kesah Nabi Nuh a.s. dengan anaknya yang tidak beriman; Allah mengatakan kepada Nabi Nuh bahawa anak tersebut bukan anaknya lagi. Berdasarkan kepada latar belakang inilah maka Umi Hafilda ini dengan jelas tidak dapat diterima kesaksiannya. Bukan sahaja beliau tidak layak untuk menjadi saksi dari sudut pandangan Islam dia juga tidak layak untuk menjadi saksi mahkamah kalau dirujuk kepada Akta Keterangan di mana saksi-saksi hendaklah merupakan individu yang tidak diragui kesaksiannya dan tidak menghadapi kes-kes yang mana kesaksiannya boleh dipertikai. Di dalam kes Umi Hafilda ini, dia bukan sahaja sudah tidak dipercayai oleh keluarganya sendiri dia juga menanggung hutang yang banyak. Inilah perkara-perkara yang ingin di ketengahkan oleh peguam-peguam DS Anwar untuk menolak saksi beliau di dalam perbicaraan ini. Kemudian peguam DS Anwar cuba untuk menunjukkan bahawa Umi sebenarnya mempunyai hati terhadap Anwar. Oleh kerana DS Anwar tidak membalas 'cinta'nya maka dia telah berdendam dan terlibat di dalam konspirasi untuk membunuh karier politik Anwar. Umi menafikan dengan sekeras-kerasnya. Tetapi soalan-soalan yang diajukan oleh En. Cristopher Fernando, membayangkan bahawa Umi sebenarnya ada hati terhadap DS Anwar. Antara cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh En. Fernando ialah Umi mengelek gambar DS Anwar ke hulu kehilir, juga mencadangkan Umi pernah mengungkapkan kata-kata kepada orang lain yang menunjukkan dia hendak kepada DS Anwar. Tindakan Umi untuk membalas dendam dengan cara ini sebenarnya tidak pelik, sekiranya cadangan-cadangan ini betul. Di dalam sejarah pun kita menemui kesah-kesah yang hampir serupa. Isteri menteri Aziz bernama Zulaikha pernah jatuh hati kepada Nabi Yusuf a.s. Apabila cintanya tidak berbalas dan beliau terperangkap, beliau telah menfitnahkan Nabi Yusuf a.s. cuba mencabuli maruahnya. Akibatnya Al-Aziz, menteri tersebut telah memenjarakan Nabi Yusuf bertahun-tahun lamanya. Ya! Seorang wanita yang dikecewakan akibat cinta yang tidak berbalas sanggup berlaku sangat kejam kepada lelaki yang dianggap mengecewakan dirinya. Apakah hubungan Umi dengan teori konspirasi. Semalam mahkamah gempar lagi apabila team pembela mengemukakan tape rakaman perbualan di antara Ummi dan Dato' Sng. Sedutan-sedutan daripada transkrip perbualan itu telahpun disiarkan di dalam media-media asing. Kita tunggu perbicaraan hari Isnin depan dengan harapan mahkamah tidak mengambil keputusan drastik untuk menghalang tape rakaman tersebut diterima sebagai bahan perbicaraan. Kita menjangkakan tidak ada masalah bagi tape tersebut dikemukakan, kerana kalau tilam yang sangat mencurigakan dapat diusung kemahkamah, takkanlah pita rakaman yang lebih kredible dihalang pula! Umi yang nampak garang sebelumnya dilaporkan kelihatan pucat lesi seperti yang dilaporkan oleh beberapa media asing apabila kewujudan pita rakaman tersebut diumumkan oleh peguam bela DS Anwar. Kita tunggu perbicaraan hari Isnin untuk ulasan selanjutnya insyaAllah. Hang Jebat@yahoo.com |