Make your own free website on Tripod.com

PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN MALAYSIA PERKARA 3 HINGGA 13

PERKARA 3. UGAMA BAGI PERSEKUTUAN.

(1) Ugama Islam ialah ugama bagi Persekutuan; tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

(2) Dalam tiap-tiap Negeri melainkan Negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja, kedudukan Raja sebagai Ketua ugama Islam dalam Negerinya secara dan setakat mana yang diakui dan diisytiharkan oleh Perlembagaan Negeri itu, dan juga, tertakluk kepada perlembagaan Negeri itu, segala hak, keistimewaan, hak kedaulatan dan kuasa yang dinikmati olehnya sebagai Ketua ugama Islam tidaklah tersentuh dan tercacat, tetapi dalam apa-apa perbuatan, amalan atau upacara yang telah dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja supaya meliputi seluruh Persekutuan, maka tiap-tiap orang Raja lain hendaklah atas sifatnya sebagai Ketua ugama Islam membenarkan Yang di-Pertuan Agong mewakilinya.

(3) Perlembagaan-perlembagaan bagi Negeri-negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak hendaklah masing-masing membuat peruntukan bagi memberi kepada Yang di-Pertuan Agong kedudukan sebagai Ketua ugama Islam dalam Negeri itu.

(4) Tiada apa-apa dalam Perkara ini mengurangkan kuasa mana-mana peruntukan lain dalam Perlembagaan ini.

(5) Walau apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjadi Ketua ugama Islam dalam Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan; dan bagi maksud ini Parlimen boleh dengan undang-undang membuat peruntukan-peruntukan bagi mengadakan peraturan mengenai hal-ehwal ugama Islam dan bagi menubuhkan suatu Majlis untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong mengenai perkara-perkara berhubung dengan ugama Islam.

PERKARA 4. UNDANG-UNDANG UTAMA PERSEKUTUAN.

(1) Perlembagaan ini adalah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka dan yang berlawanan dengan Perlembagaan ini hendaklah terbatal setakat yang berlawanan itu.

PERKARA 5. KEBEBASAN DIRI.

(1) Tiada seseorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali menurut undang-undang.

(2) Jika pengaduan dibuat kepada Mahkamah Tinggi atau kepada mana-mana hakim Mahkamah Tinggi menyatakan bahawa seseorang adalah ditahan dengan menyalahi undang-undang, maka mahkamah itu hendaklah menyiasat pengaduan itu dan, melainkan berpuas hati bahawa tahanan itu adalah sah di sisi undang-undang, mahkamah itu hendaklah memerintahkan orang itu di bawa ke hadapan mahkamah itu

dan melepaskannya.

(3) Jika seseorang ditangkap maka ia hendaklah diberitahu dengan seberapa segera yang boleh sebab-sebabnya ia ditangkap dan ia hendaklah dibenarkan berunding dengan seorang pengamal undang-undang yang dipilih olehnya dan dibela oleh pengamal undang-undang itu.

(4) Jika seseorang ditangkap dan tidak dilepaskan, maka orang itu hendaklah dibawa ke hadapan seorang majistret dengan segera, sekiranya tiada apa-apa sebab yang berpatutan, tetapi walau bagaimanapun dalam tempoh dua puluh empat jam (tidak termasuk masa perjalanan yang perlu) dan orang itu tidak boleh ditahan selanjutnya dengan tiada kuasa majistret itu:

(i) Dengan syarat bahawa Fasal ini tidak boleh dipakai bagi apa-apa tangkapan atau tahanan yang dilakukan terhadap mana-mana orang di bawah Undang-undang yang ada yang berkaitan dengan kediaman terhad, dan semua peruntukan Fasal ini hendaklah disifatkan sebagai telah menjadi sebahagian integral Perkara ini mulai dari Hari Merdeka;

(ii) Dengan syarat selanjutnya bahawa dalam pemakaiannya bagi seseorang selain daripada seorang warganegara yang ditangkap atau ditahan di bawah undang-undang yang berhubungan dengan imigresen, Fasal ini hendaklah dibaca seolah-olah perkataan-perkataan ""tanpa kelengahan yang tak munasabah, dan walau bagaimanapun dalam tempoh dua puluh empat jam (tidak termasuk masa perjalanan yang perlu)" telah digantikan dengan perkataan-perkataan "dalam tempoh empat belas hari":

(iii) Dan dengan syarat selanjutnya bahawa dalam hal penangkapan bagi sesuatu kesalahan yang boleh dibicarakan oleh mahkamah Syariah, sebutan-sebutan dalam Fasal ini mengenai seorang majistret hendaklah ditafsirkan sebagai termasuk sebutan-sebutan Syariah.

*** Perkara 5, Fasal (3) dan (4) tidak dipakai terhadap orang dari negara musuh.

PERKARA 6. KEABDIAN DAN KERJA PAKSA DILARANG.

(1) Tiada sesiapa pun boleh ditahan sebagai abdi.

(2) Segala jenis kerja paksa adalah dilarang, tetapi Parlimen boleh dengan undang-undang membuat peruntukan bagi perkhidmatan kerahan bagi maksud-maksud negara.

(3) Kerja berkaitan dengan menjalankan hukum penjara yang dijatuhkan oleh mahkamah tidak dikira sebagai kerja paksa dalam erti Perkara ini.

(4) Jika menurut mana-mana undang-undang bertulis kesemua atau mana-mana bahagian daripada tugas-tugas mana-mana pihakberkuasa awam adalah dikehendaki dijalankan oleh suatu pihak berkuasa awam lain bagi maksud membolehkan tugas-tugas itu dilaksanakan, maka pekerja-pekerja pihak berkuasa awam yang pertama tersebut itu adalah diwajibkan berkhidmat dengan pihak berkuasa awam yang kedua tersebut itu, dan perkhidmatan mereka dengan pihakberkuasa awam yang kedua tersebut itu tidak dikira sebagai kerja paksa dalam erti Perkara ini, dan tiada seseorang pekerja itu berhak menuntut apa-apa hak sama ada daripada pihakberkuasa awam yang pertama tersebut itu atau daripada pihakberkuasa awam yang kedua tersebut itu oleh sebab pertukaran pekerjaannya.

PERKARA 7. PERLINDUNGAN DARIPADA UNDANG-UNDANG JENAYAH YANG BERKUATKUASA KEBELAKANGAN DAN PEMBICARAAN BERULANG.

(1) Tiada sesiapa pun boleh dihukum kerana sesuatu perbuatan atau ketinggalan yang tidak menjadi kesalahan di sisi undang-undang pada masa perbuatan atau ketinggalan itu dilakukan dan kerana sesuatu kesalahan tiada sesiapa pun boleh menanggung hukuman yang lebih berat daripada yang telah ditetapkan oleh undang-undang pada masa kesalahan itu dilakukan.

(2) Seseorang yang telah dibebaskan daripada sesuatu kesalahan atau disabitkan sesuatu kesalahan tidak boleh dibicarakan semula kerana kesalahan itu juga kecuali jika sabitan atau pembebasan itu telah dibatalkan dan pembicaraan semula diperintah oleh suatu mahkamah yang lebih tinggi daripada mahkamah yang telah membebas atau mensabitkannya itu.

PERKARA 8. SAMA RATA.

(1) Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.

(2) Kecuali sebagaimana dibenarkan dengan nyatanya oleh Perlembagaan ini, tidaklah boleh ada pembezaan terhadap warganegara semata-mata oleh sebab ugama, kaum, keturunan atau tempat lahir dalam mana-mana undang-undang atau dalam perlantikan bagi apa-apa jawatan atau pekerjaan di bawah sesuatu pihak berkuasa awam atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang berkenaan dengan memperolehi, memegang atau melepaskan harta atau berkenaan dengan menubuh atau menjalankan apa-apa tred, perniagaan, profesyen, vokesyen atau pekerjaan.

(3) Tidaklah boleh ada pembezaan bagi faedah seseorang oleh sebab ia seorang rakyat Raja bagi mana-mana Negeri.

(4) Tiada sesuatu pihak berkuasa awam boleh membezakan seseorang oleh sebab ia bermastautin atau menjalankan perniagaan di mana-mana bahagian Persekutuan di luar bidangkuasa pihak berkuasa itu.

(5) Perkara ini tidak membatal atau melarang -

(a) apa-apa peruntukan yang membuat peraturan-peraturan mengenai undang-undang diri;

(b) apa-apa peruntukan atau amalan yang menghadkan jawatan atau pekerjaan berhubung dengan hal-ehwal sesuatu ugama, atau sesuatu yayasan yang diurus oleh sesuatu kumpulan yang menganuti apa-apa ugama, kepada orang-orang yang menganuti ugama itu;

(c) apa-apa peruntukan bagi perlindungan, kesentosaan atau kemajuan orang-orang asli Semenanjung Tanah Melayu (termasuk merezabkan tanah) atau merezabkan bagi orang-orang asli jawatan-jawatan yang sesuai dalam perkhidmatan awam mengikut kadar yang berpatutan;

(d) apa-apa peruntukan yang menetapkan kemastautinan di sesuatu Negeri atau di sebahagian sesuatu Negeri sebagai satu kelayakan untuk pilihanraya atau perlantikan bagi mana-mana pihak berkuasa yang mempunyai bidangkuasa hanya di Negeri atau di bahagian itu sahaja, atau untuk mengundi dalam pilihanraya itu;

(e) apa-apa peruntukan Perlembagaan sesuatu Negeri, yang berkuatkuasa atau yang bersamaan dengan peruntukan yang berkuatkuasa sebelum sahaja Hari Merdeka;

(f) apa-apa peruntukan yang menghadkan kemasukan berkhidmat dalam Pasukan Askar Melayu kepada orang Melayu.

PERKARA 9. LARANGAN BUANGAN NEGERI, DAN KEBEBASAN BERGERAK.

(1) Tiada seseorang warganegara pun boleh dibuang negeri atau ditahan masuk ke dalam Persekutuan.

(2) Tertakluk kepada Fasal (3) dan kepada mana-mana undang-undang mengenai keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, ketenteraman awam, kesihatan awam atau hukuman bagi pesalah-pesalah, tiap-tiap warganegara adalah berhak bergerak dengan bebasnya di seluruh Persekutuan dan bermastautin di mana-mana bahagiannya.

(3) Selagi sesuatu Negeri lain ada dalam kedudukan istimewa di bawah Perlembagaan ini berbanding dengan Negeri Tanah Melayu, Parlimen boleh dengan undang-undang mengenakan sekatan-sekatan, antara Negeri itu dengan Negeri-negeri yang lain, ke atas hak-hak yang diberi oleh Fasal (2) berkenaan dengan bergerak dan bermastautin.

PERKARA 10. KEBEBASAN BERCAKAP, BERHIMPUN DAN MENUBUH PERSATUAN.

(1) Tertakluk kepada Fasal (2), (3) dan (4);

(a) tiap-tiap warganegara adalah berhak bebas bercakap dan mengeluarkan fikiran;

(b) semua warganegara adalah berhak berhimpun secara aman dan dengan tidak bersenjata;

(c) semua warganegara adalah berhak menubuhkan persatuan;

(2) Parlimen boleh dengan undang-undang menggunakan:

(a) ke atas hak-hak yang diberi oleh perenggan (a) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau mustahak demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, perhubungan persahabatan dengan negeri-negeri lain, ketenteraman awam untuk melindungi keistimewaan-keistimewaan Parlimen atau mana-mana Dewan Negeri atau untuk mengelakkan penghinaan terhadap mahkamah, fitnah, atau perbuatan mengapi-api supaya dilakukan sesuatu kesalahan;

(b) ke atas hak yang diberi oleh perenggan (b) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau mustahak demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, atau ketenteraman awam;

(c) ke atas hak yang diberi oleh perenggan (c) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau mustahak demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam atau akhlak.

(3) Sekatan-sekatan ke atas hak menubuhkan persatuan yang diberi oleh perenggan (c) Fasal (1) boleh juga dikenakan oleh mana-mana undang-undang mengenai buruh atau pelajaran.

(4) Pada mengenakan sekatan-sekatan demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam di bawah Fasal (2) (a), Parlimen boleh meluluskan undang-undang melarang perbuatan mempersoal apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau hak kedaulatan yang ditetapkan atau diperlindung oleh peruntukan bahagian 3, Perkara 152, 153 dan 181 berhubung dengan apa-apa jua melainkan berhubung dengan pelaksanaannya sebagaimana yang dinyatakan dalam undang-undang itu.

PERKARA 11. KEBEBASAN UGAMA.

(1) Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan ugamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkan ugamanya.

(2) Tiada sesiapa pun boleh dipaksa membayar apa-apa cukai jika pendapatan dari cukai itu adalah diuntukkan khas sama ada kesemuanya atau sebahagiannya bagi maksud-maksud sesuatu ugama yang lain daripada ugamanya sendiri.

(3) Tiap-tiap kumpulan ugama adalah berhak -

(a) menguruskan hal-ehwal ugamanya sendiri;

(b) menubuh dan menyenggara yayasan-yayasan bagi maksud-maksud ugama atau khairat; dan

(c) memperolehi dan mempunyai harta serta memegang dan mentadbirkannya mengikut undang-undang.

(4) Undang-undang Negeri dan mengenai Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan ugama antara orang-orang yang menganuti ugama Islam.

(5) Perkara ini tidaklah membenarkan apa-apa perbuatan yang berlawanan dengan undang-undang am mengenai ketenteraman awam, kesihatan awam atau akhlak.

PERKARA 12. HAK-HAK BERKENAAN DENGAN PELAJARAN.

(1) Dengan tidak menyentuh keluasan makna Perkara 8, tidaklah boleh ada pembezaan terhadap mana-mana jua warganegara semata-mata oleh sebab ugama, kaum, keturunan atau tempat lahir -

(a) Dalam pentadbiran mana-mana yayasan pelajaran yang disenggara oleh sesuatu pihak berkuasa awam, dan, khususnya, tentang kemasukan murid-murid atau pelajar-pelajar atau tentang bayaran; atau

(b) Tentang memperuntukkan bantuan kewangan dari wang sesuatu pihak berkuasa awam untuk menanggung murid-murid atau untuk pelajaran murid-murid atau pelajar-pelajar di mana-mana yayasan pelajaran (sama ada disenggara atau tidak disenggara oleh sesuatu pihak berkuasa awam dan sama ada dalam atau luar Persekutuan).

(2) Tiap-tiap kumpulan ugama adalah berhak menubuhkan dan menyenggara institusi-institusi untuk pelajaran kanak-kanak dalam ugama kumpulan itu sendiri, dan tidaklah boleh ada pembezaan semata-mata oleh sebab ugama dalam mana-mana undang-undang berkaitan dengan institusi-institusi itu ada dalam pentadbiran mana-mana undang-undang itu; tetapi adalah sah bagi Persekutuan atau sesuatu Negeri menubuhkan atau menyenggara institusi-institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam ugama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan sebagaimana yang diperlu bagi maksud itu.

(3) Tiada sesiapa pun boleh diwajibkan menerima ajaran-ajaran mengenai apa-apa ugama atau mengambil bahagian dalam apa-apa upacara atau sembahyang sesuatu ugama yang lain daripada ugamanya sendiri.

(4) Bagi maksud Fasal (3), ugama bagi seseorang yang berumur kurang daripada lapan belas tahun adalah ditetapkan oleh ibu bapa atau penjaganya.

PERKARA 13. HAK TERHADAP HARTA.

(a) Tiada seseorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang.

(b) Tiada sesuatu undang-undang pun boleh membuat peruntukan bagi mengambil atau menggunakan harta-harta dengan paksa dengan tiada pampasan yang mencukupi.