Afifa Sah Anak Kandung Azmin Dan Shamsidar

Berita Harian Rabu 30 Disember 1998 11 Ramadan 1419

KUALA LUMPUR, Selasa - Seorang ahli kimia yang menjalankan ujian DNA ke atas contoh darah Mohamed Azmin Ali dan Shamsidar Taharin, mengesahkan Afifa adalah anak kandung pasangan itu.

Lim Kong Boon dari Jabatan Kimia, Petaling Jaya, yang mempunyai kepakaran dalam ujian DNA, memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, beliau juga membuat ujian yang sama ke atas contoh darah Afifa.

Katanya, berdasarkan ujian itu, turunan Mohamed Azmin sebagai bapa kandung Afifa adalah 99.99 peratus.

Menurutnya, beliau membuat ujian itu selepas polis menyerahkan contoh darah berkenaan pada 29 Julai lalu.

Lim berkata, beliau mendapati bungkusan mengandungi contoh darah yang diterimanya daripada polis berada dalam keadaan baik dan tidak ada kesan ia cuba dibuka.

Menjawab soalan Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail, Lim berkata beliau ada memeriksa 56 helai contoh rambut dan tilam yang mempunyai kesan tompokan.

Lim akan menyambung keterangannya esok.